Saturday, November 29, 2008
Airmata Marhaen
Perlu kepedulian wakil rakyat
Pasangan suami isteri dan dua cucu tiada tempat berlindung
SEANDAINYA hari ini kawasan Dewan Undangan Ulu Kelang atau Parlimen Gombak sedang berhadapan dengan pilihan raya sudah tentu nasib sepasangan suami isteri, Sarif Niat, 73 dan isterinya Siti Ramlah Yaacob, 50 bersama dua cucunya, Mohd Zulkeranian 8 dan adiknya Siti Amira 5 tidak akan mengalami nasib malang yang dilaluinya sejak lapan hari lalu.
Pasangan itu bersama cucunya kini terbiar dan ketiadaan tempat berlindung apabila rumah sewa mereka diambil semula oleh tuan rumahnya dan tidak mampu untuk mendapatkan rumah sewa baru.
Lantaran itu mereka berempat tumpang berteduh di birai bengkel kimpalan besi di No 35 Jalan AU, Lembah Keramat, Ulu Kelang.
Sekiranya saat ini berlaku pilihan raya di kawasan itu sudah pasti Pemuda Umno, Puteri Umno, pasukan kebajikan MCA, Gerakan, MIC dan segala macamnya akan datang. Tentu juga pasukan amal dan badan kebajikan Pas, Keadilan dan DAP akan ikut sama datang untuk membantu dan memberi pertolongan. Pendeknya semua berebut-rebut menawarkan khidmat dan menaburkan seribu janji indah.
Bahkan mungkin keluarga itu tidak akan terbiar sampai lebih 48 jam mereka akan disediakan rumah atau pun sebuah khemah khas didirikan seberapa segera yang boleh. Begitu juga puteri Umno dan muslimat Pas tentu ada yang sedia menemani keluarga itu untuk membasuh kain baju dan memasakan serta menjaga kedua orang cucu pasangan itu.
Tetapi disebabkan tiada pilihan raya maka tidak ada siapa yang sudi menjenguknya dan memberi bantuan meringankan beban mereka. Atau mungkin juga nasib malang mereka itu masih belum diketahui umum.
Pasangan suami isteri bersama dua cucu itu terbiar sejak lebih seminggu lalu. Nasib baiklah tuan punya bengkel berkenaan bersimpati dan bermurah hati membenarkan laman bengkelnya dijadikan tempat berteduh sementara.
Sampai bilakah nasib pasangan bersama dua cucu itu akan terbiar? Tidur berlantaikan simen yang berlapikkan kotak, ditiup angin dan ditimpa hujan siang malam serta makan tidak menentu?
Menurut tuan punya bengkel berkenaan yang dikenali dengan nama Ameza beliau sudah pun membawa perkara itu kepada pengetahuan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Adun Ulu Kelang Selasa lalu. Tetapi malangnya masih tiak ada apa-apa tindakan sehingga hari ini.
Menurutnya pegawai di pusat berkenaan sudah pun meninjau dan mengambil gambar nasib malang pasangan berkenaan.
Menurut Ameza beliau merasa terkilan dengan jawaban pihak Pusat Khidmat berkenaan yang seolah-olah tidak mengambil berat masalah dihadapi keluarga berkenaan.
Katanya beliau ada meminta agar diberikan mana-mana Dewan atau rumah transit sementara kepada keluarga itu mendapat rumah tetapi berbagai alasan diberikan termasuklah kononnya kunci Dewan itu di bawah jagaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). "Cara mereka menangani masalah ini menyedihkan!" ujarnya.
Sementara itu dalam tinjauan saya ke tempat itu keadaanya sungguh menyedihkan dan tidak sepatutnya ia berlaku. Sewaktu saya tiba kedua cucunya berkeliaran di tepi longkang salah seorang tidak berbaju sedang bermain dengan seekor katak puru (Saleintia).
Timbul persoalan apa jadi dengan parti politik yang sebelum ini berbueh mulut menjanjikan dalam manifesto mereka untuk membantu dan memberi kesejahteraan kepada rakyat. Baik BN dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat semuanya berjanji untuk membela rakyat. Dengan apa yang dialami keluarga Sarif dan Ramlah bersama cucunya itu jelas janji manis itu tidak ke mana.
Daripada apa yang diceritakan oleh pasangan itu, mereka dulu menyewa di sebuah flat berhampiran dengan kadar RM420 sebulan tetapi terpaksa keluar kerana tuan rumah itu ingin rumahnya.
Disebabkan ketiadaan wang untuk membayar rumah sewa baru yang memerlukan deposit sehingga RM1,500 menyebabkan beliau terpaksa ‘mengemis’ menumpang di tepi bengkel berkenaan.
Asalnya mereka ada setinggan di tebing sungai di AU Lembah Keramat itu. Bagaimana apabila kerajaan membangunkan kawasan itu dengan mendirikan bengkel (IKS) mereka tidak disenaraikan untuk mendapatkan salah satu bengkel berkenaan. Alasan yang diberikan kerana mereka tidak berkemampuan untuk menjalankan apa-apa perusahawan.
"Manalah saya nak dapatkan RM1,500 untuk depostit air, api sedangkan gaji saya hanya RM850 saja. Kalau setakat nak bayar sewa bulanan sekitar RM400 mungkin boleh. Jadi terpaksa saya duduk di sini dulu," cerita Sarif mengenai kemampuannya dengan harapan tuan punya bengkel yang ditumpangi itu akan memberi masa untuk beliau berikhtiar mencari rumah baru.
Beliau sendiri mengakui sudah ke pejabat salah seorang wakil rakyat tetapi tidak menemuinya dan beliau akan mencuba sekali lagi.
Ditanya apakah mereka tidak ada waris, Sarif menjelaskan beliau ada abang dan kakak, semuanya tinggal di Sabak Bernam. Untuk menyarakan kehidupan dia sekeluarga beliau bekerja sebagai jaga di sebuah kilang berdekatan bengkel berdekatan dengan gaji RM850 sebulan. Isterinya yang berasal dari Batu Gajah tidak berkerja.
Di samping kena menyara dua cucu, keluarag itu juga mempunyai tiga orang anak, seorang lelaki berusia 16 tahun yang bekerja mengambil upah mencuci kereta dan pelbagai kerja lain manakala seorang anak perempuannya sedang menuntut di Politeknik di Kok Lanas, Kelantan.
Kehidupannya jadi makin terbeban sejak sebulan lalu apabila anaknya meninggalkan dua orang cucunya itu dan ghaib bersama suaminya tanpa sebarang berita hingga ke hari ini. Ketika ditanya ke mana mereka, Sarif kelihatan berat mulut untuk bercakap mengenai anaknya itu.
Zulkeranian bersekolah di darjah dua manakala adiknya Siti Amira bersekolah di tadika.
Keadaan tempat pasangan itu menumpang teduh tidak selamat dan merbahaya terutamanya kepada dua cucunya itu yang seirng merayau menandangkan di belakang bengkel itu terdapat sungai di mana airnya dalam dan deras apabila hujan turun.
Menurut Ameza sungai itu juga sering kali menelan korban, untuk tahun ini seorang kanak-kanak telah menjadi mangsa.
Adalah diharap kepada pihak-pihak berkenaan supaya memberi perhatian segera kepada nasib pasangan itu tanpa saling harap mengharap antara satu sama lain dan melihat warna kulit.
Sesungguhnya apa yang berlaku kepada Sarif dan Ramlah bersama cucunya itu tidak patut berlaku lagi jika dikenangkan kepada janji-janji parti politik dalam manifesto mereka dalam pilihan raya lalu yang mana semuanya berjanji untuk membawa kesenangan dan membantu rakyat. [wm.kl 4:00 pm 28/11/09]
